Monday, November 22, 2010

Kembali bersatu

Ceritanya bermula begini.

Suatu masa yang lalu di kota Baghdad ketika seorang gadis datang ke situ dari kampung asalnya yang terletak di pinggiran tanah arab untuk bekerja sebagai pembantu rumah seorang hartawan yang bernama Jalaluddin setelah diberitahu gadis itu mempunyai kepandaian memasak kebab dan kebabnyalah kebab yang paling sedap mentelah pula menu itu merupakan menu kegemaran hartawan tersebut.

Gadis itu pun disenangi oleh keluarga hartawan tersebut kerana sangat pandai bekerja juga pandai mengambil hati keluarga hartawan sejak dari hari pertamanya bertugas di situ di mana keluarga hartawan terdiri daripada 4 orang isteri yang menghasilkan zuriat seramai 22 orang dibahagikan kepada 11 lelaki dan 11 perempuan cukup untuk dilatih sebagai 2 pasukan bola sepak.

Maka dengan itu rumah hartawan saban hari menerima kunjungan kerabat ternama yang datang dari seluruh pelusuk tanah arab dan jamuan besar kerap diadakan bermenukan kebab istimewa menyebabkan bertambah beratlah kerja si gadis setimpal dengan imbuhan yang diberikan hartawan tersangat cukup untuk menampung keluarganya di kampung.

Pada hari sabtu ketika itu bersamaan 13 mac tahun 65o datanglah segerombolan rombongan yang diketuai Menteri dari sebuah wilayah letaknya di Parsi ke kota Baghdad atas tujuan merapatkan hubungan lama dan singgahlah mereka ke rumah hartawan setelah diberitahu tempat santapan paling sesuai. Hajat hartawan ingin mengubah sedikit cara hidangan menu kebabnya dengan menyediakan kebab bertingkat berbentuk sebuah masjid terkenal di Parsi. Gadis pun melakukan sebaik mungkin apa yang ditugaskan kepadanya berbekalkan kemahiran yang ada.

Hari silih berganti, bulan demi bulan dan tahun demi tahun bekerjalah gadis dengan tekunnya di situ sehingga berlaku sesuatu yang amat misteri pada dirinya. Pada malam itu, gadis yang tadi siangnya sibuk bekerja sukar untuk melelapkan mata sehinggalah matahari terbit masih belum dapat tidur. Pagi itu, gadis cuba bangun tetapi hanya matanya sahaja yang boleh dipejam celik. Tubuhnya kaku seperti kayu. Tidak boleh bercakap dan mendengar.

Hartawan sangat risau dengan keadaan gadis sehinggah dia mengisytiharkan kepada semua tabib tabib siapa di antara mereka yang berjaya mengubati penyakit misteri gadis tersebut akan dihadiahkan 3 ribu dinar. Dengan itu berduyun-duyun lah tabib ke rumahnya saban hari untuk mencuba kemahiran mengubat masing-masing.

Sebulan berlalu masih belum ada tabib yang berjaya mencari punca penyakit gadis apatah lagi mengubati sehinggalah datang seorang tua berpakaian lusuh berkaki capek kepada hartawan. "Yang sebenarnya, gadis teramat merindui kampung halamannya, tempat asalnya." kata orang tua lantas beredar. Hartwan amat tertarik dengan perilaku serta bahasa si tua tadi. Keesokannya terus di bawa gadis pulang ke kampung. Sesampainya di rumah gadis, dengan serta merta gadis bangun serta berlari mendapatkan keluarganya. Tinggallah gadis dengan gembiranya di situ sepanjang hayatnya.

Rindu ketempat asal memanglah fitrah kita. Asalnya kita dari mana? Lupa...................

Friday, November 12, 2010

Ibu Dunia

Sesampainya gua ke Mesir baru-baru ni, gua pilih cahaya matahari satu-satunya yang wajib gua rasa, bukannya makwe arab. Bandar Cairo pada masa tu suhunya sekitar 25 darjah selsius seperti apa yang diberitahu oleh pemandu kapal terbang sebelum mendarat. Gua sampai tepat pukul 2 petang setelah melalui penerbangan selama 8 jam 25 minit, beriktikaf di lapangan terbang Kuwait selama 5 jam dan berlepas semula ke Mesir lagi 3 jam. Sepanjang 16 jam 25 minit gua berada dalam suhu dingin. Serik juga dibuatnya. Selimut tak dibaginya, tak ditanya jenis makanan apa yang dimahu dan merokok menjadi kesalahan. Itulah Kuwait Airways.

Lebih kurang 20 minit gua bersedap di bawah sinaran matahari, kereta sukan bersama seorang 'driver' yang ditugaskan menjemput gua di bandara pun tiba. Apahal makwe-makwe sekeliling pandang gua macam gua kaya. Muizuddin atau nama samarannya Mizo merupakan sahabat rapat gua dan dialah yang akan membawa gua ke destinasi seterusnya. Setelah bersalam, berpeluk dan bertanya kabar seberapa ringkas, kami pun terus menaiki kereta supaya dua kerja dapat terjalin dalam satu masa iaitu bersembang panjang sambil menuju ke kediaman kami yang tidaklah begitu jauh. Kebiasaannya lapangan terbang dibina di hujung-hujung bandar untuk mengelak dari kesesakan begitu juga kediaman kami yang letaknya di hujung bandar.

Kenderaan bersimpang-siur. Laungan hon bersilih ganti. Arab bergaduh di tengah jalan raya yang sesak kes bumper calar sikit. Dua-dua tak mengaku silap. Si miskin berteduh di celahan bangunan-bangunan yang diselaputi debu tampak usang. Semuanya berpusat di kesesakan kota yang bernama Kaherah. Kota keriuhan yang menyimpan sejuta macam cerita. Gua senyum puas dan ingatan ketika di tanah air hilang entah ke mana.

Nampak serabut dan rimas pada pandangan......

"Hazihi haqiqotun Al-Masri"